Wednesday, December 22, 2010

CANTIKNYA SEORANG WANITA

              Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja.
              Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak.
Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.
               Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan.
Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu.
Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam.
Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.
Anda ingin lebih cantik dan menarik?
# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
# Pakailah "sabun istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
# Rawatlah rambut anda dengan "selendang islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki.
# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin ukhuwwah.
# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian."
# Bedaklah wajah anda dengan "air wudhu."



~BUNGA IDAMAN~

Bismillahirrahmanirrahim...

Petang tadi terlihat kepadaku sekuntum bunga. Kelopaknya indah dan berwarna-warni. Aku cuba mendekatinya tapi niatku terbantut tatkala melihat duri-duri tajam di batangnya; pasti duri-duri itu akan melukai jemariku.

Aku cuba mencium baunya tetapi amat payah lantaran sukar memegangnya. Aku mengeluh sendiri mencari bunga cantik yang bisa kusentuh lalu kuterlihat kepada sekuntum bunga tidak jauh dariku.

Aku menghampiri bunga itu.
Ia nampak cantik dari jauh. Kulihat batangnya yang tidak berduri, lalu aku sentuh dan aku cuba menciumnya tapi tak lama kemudian aku lepaskannya.
Baunya cukup membuatkan aku loya lalu aku terdengar suara manusia lain dibelakangku; sepasang adam dan hawa sedang bermanjaan. Lagak mereka sungguh menjengkelkan.

Aku mengumpat di dalam hati; rasa marah bila hukum Tuhan tak diendahkan.
Tak lama kemudian si adam memarahi si hawa. Aku hanya melihat dari jauh seperti menonton drama di televisyen lalu si adam meninggalkan si hawa seorang diri. Dia membiarkan gadis manis itu menangis hiba.
Pada masa yang sama aku terpandang seorang hawa berpakaian serba sopan, sederhana gayanya. Dia berjalan tidak jauh dariku.
Pakaiannya labuh tidak meransang nafsu. Alangkah senang hatiku melihatnya. Dia berjalan sambil menundukkan pandangannya. Adam di sisi langsung tidak menegur bukan kerana benci tetapi tanda hormat.
Aku tersenyum sendiri teringatkan dua kuntum bunga yang baru tadi aku lihat.
Aku mula bermonolog..
Bunga yang berduri itu pasti susah didekati sang kumbang. Bunga yang busuk itu pasti sudah dihisap madunya oleh sang kumbang lalu kumbang itu meninggalkannya setelah puas madunya dihisap.
Aku melihat kembali ke arah dua hawa tadi lalu aku bingkas bangun.
Siapakah aku?
Tiba-tiba aku menangis merenung diriku sendiri...
"Ya Allah! Jadikanlah aku bunga idaman para mujahid... bunga idaman agama! Aku mahu kelopakku indah tanpa sedikitpun kotoran. Jadikanlah aku wanita solehah, wanita mukminah!"
Moga diriku seperti Khadijah, Masyitah, Aisyah, Muthiah dan Ainul Mardiah! Aku ingin menjadi bunga idaman Islam.




~sympton-sympton hati keras~

bismillahirrahmanirrahim...

wanita solehah itu bidadari syurga
Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.
Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.
Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".
Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan
Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)
2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)
3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat
Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.
4. Kurang mengagungkan Allah
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.


~INSAF S~EKEJAP

Assalamualaiku wbt
hmmm, biasa x dengar kwn2 or kte sndr sebut perkataan insaf sekajap..??
Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'? Ya, ia wujud.
Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar.
Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.
Saya juga tidak terkecuali.
Kisah Hanzalah
Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'.
Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.
Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.
Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!
Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.
Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"


Manusia Biasa..
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun.
Dalam mendefinasikan perkataan insaf, saya cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.
Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat!
Maka izinkan saya menggantikan perkataan insaf dengan perkataan taubat.
Taubat Yang Berulang
Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.
Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.
Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.
Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!
Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!
Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza.
Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit.
Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?
Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39 yang bermaksud :
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.
Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.
Ya, harus banyak berdoa!
Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.
Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.